Pages

Thursday, May 5, 2011

Part 3 : Apakah HIV

*Sumber dari carian Google, Majlis AIDS Malaysia.

APAKAH HIV?
Human Immunodeficiency Virus (HIV)
HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS. HIV menyerang sistem daya tahan badan*, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif-HIV (HIV+) tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS.
* Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Sel-sel ini menyerang dan membunuh kuman dan virus yang masuk ke dalam badan kita.
Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS)
AIDS adalah nama yang diberi kepada sekumpulan penyakit yang menjangkiti orang yang HIV+. Ia berlaku apabila sistem daya tahan badan orang tersebut menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawan penyakit.
Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti?
HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut sahaja:
  1. melalui perhubungan seks tidak selamat (seks tidak selamat adalah seks tanpa menggunakan kondom lateks).
  2. melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari.
  3. melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan.
HIV hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuk darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas.
Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti?
HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata. HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara seperti virus selesema. HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
HIV tidak boleh dijangkiti melalui
  • Pendermaan darah
  • Berjabat tangan dan berpelukan
  • Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam
  • Berkongsi makanan dan perkakas dapur
  • Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur
  • Bersin, batuk, air peluh atau air kencing
  • Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang
  • Menjaga seseorang yang positif-HIV
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV
Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?
Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Ada jangkitan yang akan menunjukkan simptom yang menyerupai demam selesema tiga sehingga enam minggu selepas jangkitan. tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain; orang itu mungkin sembuh dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Tanda awal yang serupa juga berlaku semasa jangkitan virus lain. Oleh kerana tanda-tanda ini hilang dengan mudahnya, ramai yang tidak mengendahkannya dan mengaggapnya sebagai penyakit biasa. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.
SEKS SELAMAT
Apakah seks selamat?
Seks selamat adalah hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah tidak masuk ke dalam badan orang lain.
  • Seks selamat adalah hubungan seks menggunakan kondom lateks dan pelincir berasaskan air seperti gel K-Y.
  • Seks selamat adalah perlakuan seks seperti bersentuhan atau melancap dimana kedua-dua pihak tidak mempunyai luka atau ruam pada tangan mereka.
Cara-cara ini dipanggil "seks selamat" kerana ianya meminimumkan risiko jangkitan, tetapi tidak menghapuskan jangkitan sama sekali. Aktiviti seksual akan sentiasa mempunyai risiko terutama jika salah seorang pasangan adalah positif-HIV. Seks selamat juga boleh mencegah jangkitan penyakit kelamin yang boleh meninggikan risiko jangkitan HIV. Penyakit-penyakit kelamin memudahkan HIV menjangkiti sel-sel badan.
YANG BENAR TENTANG SEKS DAN HIV

  1. Penggunaan kondom dengan betul adalah yang terbaik dalam menghalang jangkitan HIV semasa hubungan seks kerana ia diperbuat dari lateks/getah.
  2. Kondom juga boleh melindungi mulut, faraj, dubur dan zakar dari air mazi, air mani dan darah yang mengandungi HIV serta penyakit-penyakit kelamin lain.
  3. Jangan biarkan alkohol/dadah atau pasangan yang menarik mengalih perhatian anda daripada amalan seks selamat.
  4. Seks selamat adalah salah satu cara untuk menghalang jangkitan HIV.
  5. Anda boleh dijangkiti HIV jika melakukan seks tidak selamat.
  6. Masih tiada penawar untuk HIV/AIDS tetapi terdapat ubat anti HIV dalam pasaran yang boleh memperlahankan kemaraan penyakit ini.
  7. Anda tidak boleh dijangkiti HIV dengan berpelukan, berjabat tangan, bersentuhan, melancap dan berciuman.
Anda boleh mengelak jangkitan HIV dengan mengamalkan 'seks selamat' atau tidak berkongsi jarum suntikan yang tercemar.
Kita boleh melambatkan penyebaran epidemik HIV jikalau semua orang mempunyai maklumat tepat dalam cara-cara pencegahan. Orang ramai sering bertindak secara prejudis dan penafian terhadap apa yang mereka tidak difahami. Reaksi-reaksi ini menghalang program-program pencegahan dan menyukarkan kehidupan orang-orang yang hidup dengan HIV/AIDS. KIta semua boleh membawa perubahan dengan melawan sikap prejudis dan penafian tersebut serta meningkatkan kefahaman mengenai HIV/AIDS.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Majlis AIDS Malaysia di (03) 4045 1033 atau talian Interaktif 24-Jam HIV/AIDS di (03) 707 7007. Untuk kaunseling, sila hubungi Kaunselor di Talian Bebas Toll 1-800-88 18 48 atau e-mel counselling@mac.org.my
Majlis AIDS Malaysia

***Dalam kes saya.... saya rasa AIDS dan HIV boleh menjangkiti anda bila anda berada pada tempat dan waktu yang salah... Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir nasib kita akan berubah dalam sekelip mata hanya kerana kecuaian dan kesilapan kecil. Namun, saya tetap redha atas apa yang berlaku..

Wednesday, January 26, 2011

Part 2. Kisah Itu Bermula Di Sini....

Segalanya bermula hampir 3 tahun yang lalu.... Mac 2008.

Ketika itu aku baru saja memulakan perniagaanku selama beberapa bulan yang asalnya bertempat di Kompleks Puchong Perdana, Puchong.
Seingat aku, pada jam hampir 12 tengah malam itu aku dalam perjalanan pulang dari menghantar barang keperluan pelangganku di Keramat sebagai persiapan menjelang Hari Bahagianya keesokan harinya. Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi. Satu pesanan ringkas diterima dari teman baikku, bekas rakan sekerjaku suatu ketika dahulu. 'Buat apa beb? Jom ar join 'celebrate' besday party member aku kat hotel sini. Makanan banyak. Acara meriah kat sini.' Lebih kurang itulah bunyi pesanan ringkas yang aku terima. Saat itu tiada lain yang difikiranku hanyalah sekadar untuk 'join' seketika mengisi hati mudaku yang agak kebosanan malam itu. Selain cuba ingin menghiburkan diri berjumpa teman-teman lama dan menikmati juadah istimewa di hotel sempena meraikan hari jadi teman baik kepada sahabat lamaku semata-mata. Setelah mendapat alamat yang diberikan, kereta pun dipandu menuju ke hotel tersebut. Pada awalnya, aku menjangkakan parti itu diadakan diruang restoran hotel tersebut. Rupa-rupanya ia diadakan di sebuah suite mewah hotel tersebut. Bilik yang begitu luas n besar itu menempatkan ramai tetamu yang hadir. Perasaan berdebar2 bercampur teruja kerana itulah pertama kali aku menghadiri jamuan harijadi di tempat mewah seperti itu. Di satu sudut aku melihat ramai tetamu menari rancak mengikut tempo muzik yang dipasang bagi membangkitkan suasana 'happening' parti tersebut. Dalam suasana agak suram dan lampu ala-ala disko yang dipasang, temanku menghidangkan aku air coke pada ku sambil memperkenalkan aku pada teman-teman yang lain. Aku melihat satu meja besar dipenuhi hidangan dan minuman yang bermacam-macam. Kerana curiga akan status minuman dan makanan itu, aku hanya menjamah beberapa biji anggur dan menikmati air coke yang dihidangkan pada ku tadi. Kelihatan juga seorang lelaki Mat Salleh keluar dari sebuah bilik diikuti beberapa orang wanita-wanita seksi dalam keadaan mesra dan berpelukan. Hatiku resah dan mula rasa tidak selesa, seolah2 ada sesuatu yang buruk akan berlaku di tempat itu. Jantung ini tiba2 berdegup pantas dan kepala ini menjadi pusing. Selepas lebih kurang 15 minit berada distu, kepalaku mula berasa pening. Terasa ingin beredar dari situ dan segera pulang meninggalkan parti itu. Dalam keadaan tidak selesa, aku mengambil barang2 ku dan membuka pintu bilik hotel itu untuk beredar keluar...... Tiba-tiba.......

"Jangan bergerak semua....kami polis!!!!" Kata-kata laungan itu begitu kuat dan cukup membuatkan lebih kurang 40 orang yang berada dalam bilik mewah itu bertempiaran cuba melarikan diri. Aku juga terkejut namun tidak berbuat apa2, kerana merasakan tiada apa yang patut aku takutkan. Aku yakin tiada sebarang kesalahan yang aku lakukan... Sekumpulan lebih kurang 5 anggota polis menyerbu masuk ke bilik mewah itu. Lampu kalimantang dipasang. Terperanjat aku melihat keadaan sebenar suite itu yang begitu bersepah-sepah dengan pelbagai barang-barang 'terlarang' bertaburan di atas lantai. Hatiku cemas.....dan bertanya dalam hati. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku di sini?? Kemudian, kami semua yang berada di situ diarahkan untuk membuat ujian air kencing seorang demi seorang. Kepalaku semakin pening. Aku semakin cemas. Hasil ujian, hampir kesemua yang berada di dalam bilik mewah itu didapati positif dadah termasuklah aku. Aku kehairanan kerana pelik bagaimana aku juga turut positif dadah???? Rupa-rupanya hasil pemeriksaan polis, minuman yang dihidangkan untuk semua tetamu telah dicampur serbuk dadah yang diletakkan di dalam balang minuman di meja hidang tersebut. Aku ketakutan. Puas aku memberi penjelasan pada polis-polis itu bahawa aku tiada niat langsung untuk memasukkan benda haram itu ke tubuhku. Sebaliknya aku berasa diriku ini dianiaya oleh teman-temanku sendiri. Namun, kata2 ku itu tidak dilayan. Sebaliknya aku diterajang, di belasah oleh polis2 itu sambil bertubi2 kata maki yang diterima dari mereka. Takut. Sedih. Gelisah. Apakah yang harus aku lakukan. Tidak lama kemudian, beberapa orang polis berkata perlahan, memberi isyarat bahawa bagi yang ada wang, boleh dilepaskan pada malam itu (rasuah). Seorang demi seorang bertemu polis2 tersebut di salah sebuah bilik yang ada.. Peliknya mereka dilepaskan dan dibenarkan beredar pada masa itu. Nyata, mereka telah dibebaskan setelah 'membayar' polis2 itu. Aku pun cuba bangun dan 'berbincang' dengan polis tersebut. "Berapa nak bayar???", tanya salah seorang polis itu padaku. Aku menyatakan bahawa ketika itu hanya membawa sebanyak RM350 di dalam poket ku. Dengan sinis, polis itu menjawab...."Tak Cukup. Tidur lokap je la camtu." Puas aku merayu minta dibebaskan... namun tidak diendahkan. Waktu berlalu. Seorang demi seorang dibebaskan keluar setelah membuat 'bayaran' pada polis -polis itu. Akhirnya, dari hampir 40 orang yang pada asalnya ditahan, hanya 11 orang termasuk aku dibawa ke balai polis untuk dimasukkan ke dalam tahanan sementara pesalah kes-kes penyalahgunaan dadah di Penjara Pudu, Kuala Lumpur....... Tangan bergari *Sedih*Takut*Gabra*Buntu*

******

 Penjara Pudu, KL: Mac 2008

Setelah keterangan diri diambil, aku dan lain2 dalam keadaan tangan bergari dibawa menaiki trak polis ke Penjara Pudu. Destinasi yang bakal aku tuju itu bakal merubah nasib aku selamanya. Dalam perjalanan sempat jua aku menghantar sms serta menelefon pada teman-teman rapatku yang aku percayai dan harapkan tentang keadaan yang berlaku padaku ketika itu, dengan harapan akan ada sesiapa yang sudi menyelamatkan aku. Beberapa orang yang aku hubungi, semuanya memberikan jawapan yang mengecewakan. Aku sedar tentang masalah yang aku bawa tika itu begitu besar hinggakan hanya orang yang benar2 rela dan ikhlas saja yang akan cuba menolongku. Mujur aku sempat meminta pertolongan dari Nana dan tunangnya ketika itu Mr F. Merekalah Hero dan Heroin aku. Setelah sempat memberitahu Nana n Mr F, telefon ku kehabisan bateri. Tika itu, aku hanya mampu berdoa dan berharap agar mereka berdua benar-benar boleh diharapkan...

Setibanya di penjara, seorang demi seorang diperiksa dengan kawalan yang ketat. Melihat pagar besi, tembok2  konkrit serta jeriji-jeriji yang dibina kukuh sudah cukup membuatkan hatiku rasa gerun dan takut untuk berada di dalamnya. Hati bertanya2 apakah kesudahan dan takdir aku bila ditempatkan di tempat sebegitu. Masih aku ingat sebelum dimasukkan ke sel, aku dan lain2 di jemur di bawah panas terik mentari, dipaksa meninggalkan barang2 peribadi di dalam bungkusan plastik khas, kemudiannya di berikan pakaian lusuh T-shirt banduan berwarna oren serta seluar track berwarna hitam. Kami kemudiannya di bawa masuk melalui beberapa pintu pagar utama untuk tiba ke blok sel masing2. Sebelum diagih-agihkan kepada kumpulan, kami disuruh melakukan ketuk ketampi berseorangan dikhalayak banduan dan warden penjara yang ada dalam keadaan berbogel. Tidak dapat digambarkan perasaan aib dan malunya ketika itu dimana tidak memakai walau seurat benang di khalayak ramai dalam keadaan panas terik matahari. Malu....sememangnya terlalu malu. Tapi, apakan daya. Itu adalah prosuder yang harus dilalui setiap banduan bertujuan untuk memastikan tiada sesiapa pun menyimpan barang terlarang ketika berada di penjara.

Setelah selesai ketuk ketampi, aku dan semua banduan yang lain ditempatkan ke dalam sel-sel tertentu. Masih aku ingat luas sel aku ditempatkan lebih kurang 6 kaki lebar, 10 kaki panjang. Lantainya yang agak menjijikan berwarna hitam berlumut serta kotor. Tingginya lebih kurang 14 kaki dengan keadaan siling konkritnya yang melengkung. Terdapat satu tingkap berjeriji besi setinggi 10 kaki dari aras lantai.Pintu sel pula diperbuat dari jeriji besi padu dan kukuh. Aku difahamkan oleh warden penjara atau lebih mesra dikenali sebagai 'cikgu' bahawa sel yang aku diami adalah tempat dimana dahulunya pesalah-pesalah banduan jenayah berat menghabiskan sisa2 hidup mereka sehinggalah mereka dibebaskan. Malah ramai juga banduan terdahulu yang menghembuskan nafas terakhir mereka di situ. Sel itu, tiada selimut, tiada katil, jijik dan meloyakan. Apa yang mampu aku buat hanyalah berbaring di atas lantai itu beralaskan tangan tika kala ingin melelapkan mata yang keletihan.

Siangnya bagaikan satu tempoh masa yang terlalu panjang... tiada apa yang boleh aku lakukan selain berharap akan ada sesiapa yang menolong cuba keluarkan ku dari penjara itu.... Aku hanya mampu berdoa dan memohon pada Allah.....

Dalam kebuntuan, malam itu aku meminta kebenaran warden aka Cikgu (nama gelaran untuk warden) untuk ke bilik air. Tika itu niat ku adalah untuk mengambil wudhu' n melakukan solat hajat agar aku segera dikeluarkan. Setibanya di bilik air, terlihat 3 orang banduan senior duduk mencangkung di satu sudut. Kelihatan mereka sedang berkongsi dadah secara suntikan. Aku berdebar2, dan cuba buat2 x nampak.... Ketika hampir selesai berwudhu', salah seorang dari mereka menghampiri aku dan mempelawa untuk 'join' mereka. Aku menolak dengan menjawab, "Maaf bro, saya memang x layan..." Oleh kerana jawapan yang aku berikan itu, mungkin menyinggung perasaannya. Aku dibelasah, dipekup muka dengan baju, di sepak terajang oleh 3 banduan senior tersebut. Mulut di sumbat dengan baju...... Dan yang paling memberi kesan padaku..... aku di suntik dengan jarum suntikan mereka tepat pada bahu n punggung... Kejadian yang begitu pantas... tetapi memberi kesan yang begitu mendalam. Kemudian mereka melepaskan aku dan mengugut agar tidak menceritakan kejadian itu pada sesiapa sekiranya tidak mahu dibelasah atau dibunuh oleh mereka. Aku terus berlari ke sel tahanan, menangis ketakutan n termenung. Buntu, x tahu apa yang harus dibuat. Tekanan  dan ketakutan yang teramat sangat. Malam itu, aku cuba 'merasuah' warden aka Cikgu untuk menggunakan khidmat telefon bimbitnya bagi membuat panggilan. Beberapa orang aku hubungi untuk mendapatkan bantuan tapi masing2 memberikan jawapan yang kurang memberangsangkan. Mujur aku berjaya menghubungi teman rapatku aka kakak ku Nana. Beliau dan bakal suaminya (kini sudah pun berkahwin) yang bersungguh2 cuba membuat macam2 ikhtiar untuk mengikat jaminku keluar dari penjara. Selepas 3 hari 2 malam berada di penjara Pudu, aku akhirnya dibebaskan dgn ikat jamin di Mahkamah Jalan Duta, Wilayah Persekutuan. 2 abangku, along n atih serta Hero dan Heroin ku (Nana dan Fathi). Masa tuh, rasa lega yang teramat sangat setelah dikeluarkan dari penjara. Namun, tiada siapa pun yg tahu apa sebanrnya yang telah berlaku padaku. Ya, sejak dari itu hanya satu sahaja kerisauan n kebuntuan yang bermain di fikiran ku. Semuanya tentang suntuikan yang aku terima malam itu. Aku mula risaukan, HIV.

Part 1. Pengenalan : Aku Dan HIV...

11.01.2011. Sejarah Hitam tercatat buatku....
"Anda positif HIV!!!" Kata-kata pedih yang dilafazkan oleh doktor itu bagaikan satu panahan beracun tepat ke jantungku ini. Seperti yang sudah ku jangkakan, bermulalah Episod Hitam dalam kisah hidupku sebagai penghidap Virus Maut itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan bagaimana remuk, hancur dan punah jiwa ini untuk menerima kenyataan. Namun, apalah dayaku untuk melawan Qada' dan Qadar yang telah ditetapkanNya buat ku. Diri ini mulai belajar untuk redha, pasrah dan tabah..... 'Ya Allah, kuatkanlah diriku dalam menempuh dugaan yang begitu berat ini...
Ujian darah sebanyak dua kali yang dijalankan, menguatkan lagi kenyataan bahawa aku harus berdepan realiti bahawa badanku secara saintifiknya mula melemah. Sel-sel virus jahat itu sudah hampir 3 tahun berada di dalam tubuhku. Ya.... aku akui sistem pernafasan ku sudah mula tidak selesa, badanku semakin lemah, tubuhku semakin kurus, mulut dan lidah ini sudah agak lama tidak dapat berfungsi dengan baik. Hakikatnya, jasad yang dulunya sihat walafiat, kini semakin musnah dan hancur secara perlahan-lahan. Adakalanya aku benar-benar berharap bahawa semua ini hanyalah mimpi, kata-kata doktor itu hanyalah gurauannya sahaja.... Tapi.... hmmmm hambaMu  akur dengan kehendakMu Ya Allah...

* Segala yang ada di Dunia ini adalah sekadar pinjaman yang bersifat sementara. Kelak segalanya akan pulang kepada pemiliknya, Allah Yang Maha Mencipta.